SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya ketika proses siapa yang menggantikan beliau menjadi Menteri Besar pada 2018.
Beliau mendakwa, pada peringkat awal, bekas partinya iaitu PKR tidak menghantar nama Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calon Pakatan Harapan (PH) menjadi menteri besar yang baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Bagaimanapun Azmin mengakui beliau yang bertanggungjawab mengemukakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu kepada pihak istana bagi dipilih mengetuai kerajaan negeri.
“Betullah dia anak didik aku, nama dia parti tak serah kepada istana. Amir (Amirudin) ingat, yang angkat nama engkau tu aku.
“Kerana hari ni kamu bersekongkol dengan dot dot dot, maka kita tidak ada pilihan. Kita tak ada pilihan tolak PH, UMNO DAP di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada berucap di Konvensyen Pilihanraya PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Pada 2018, selepas kemenangan PH pada PRU14, Azmin dibawa ke peringkat pusat menjadi menteri menyebabkan jawatan menteri besar Selangor perlu dikosongkan.
Beberapa nama disebut-sebut menjadi pengganti Azmin yang ketika itu menjadi timbalan presiden PKR termasuk ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad yang dikatakan menjadi pilihan pimpinan pusat parti.
Namun Istana Selangor kemudian memutuskan untuk melantik Amirudin yang dikatakan anak didik Azmin menjadi menteri besar ke-17 negeri itu mulai 19 Jun 2018.
Pada Februari 2020, Azmin bagaimanapun meninggalkan PKR bersama 10 lagi ahli parlimen parti itu dalam Langkah Sheraton sekali gus membawa kepada kejatuhan PH dan digantikan dengan kerajaan PN. – MalaysiaGazette
















