Pemilik akaun TikTok yang membuat hantaran berbaur fitnah polis membabitkan insiden kereta ditarik trak tunda sedang disiasat polis.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat video tular yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok dengan hantaran yang mendakwa terdapat unsur rasuah melibatkan anggota PDRM.

Video itu memaparkan sebuah kenderaan ditarik dengan trak tunda dan disertakan dengan hantaran yang mendakwa polis bersubahat menerima rasuah dan semua di bawah kawalan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut.

Ia kerana, hantaran itu melemparkan fitnah yang serius hingga boleh menjejaskan imej dan reputasi Polis Diraja Malaysia.

Polis telah menyiasat kejadian tersebut mendapati kenderaan tersebut ditarik kerana ansuran tertunggak selama lima bulan.

“Wakil bank telah membuat satu laporan polis mengenai tindakan menarik kenderaan tersebut kerana sudah tertunggak lima bulan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 019-222 3361. – MalaysiaGazette