KUALA LUMPUR – Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk tidak lagi mengungkit perkara silam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Kelmarin dalam pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, semua setuju untuk tidak lagi mengungkit-ungkit perkara silam.
“Dan bergerak ke hadapan demi kestabilan politik negara dan memberikan fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat,” kata Asyraf Wajdi.
Hubungan parti dalam kerajaan terutama antara Barisan Nasional (BN) dan DAP tegang selepas bekas Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua pada 23 Jun lalu secara tiba-tiba menggelarkan BN sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.
Menurut Asyraf Wajdi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah menyatakan komitmen parti itu untuk terus mempertahan Kerajaan Perpaduan.
Pemimpun utama DAP itu menurutnya, komited untuk mempertahankan segala dasar yang telah dipersetujui dan disepakati ketika membentuk Kerajaan Perpaduan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.
“Ini termasuklah dua perjanjian yang ditanda-tangani yang mana DAP dan seluruh 19 parti-parti politik sepakat untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kepentingan Melayu-Islam, kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu,” kata Asyraf Wajdi dalam kenyataan di Facebook.
Katanya, UMNO juga akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia selagi semua prinsip-prinsip berkenaan dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak demi rakyat dan negara tercinta.
Ditanya mengapa tiada desakan supaya Tony meminta maaf, Asyraf Wajdi menjawab: “Kepimpinan Tertinggi DAP juga mengutuk keras kenyataan Tony Pua yang dianggap tidak betul dan langsung tidak mencerminkan pendirian parti yang merubah dasar mereka untuk move forward.”
Media sebelum ini melaporkan, Tony dalam Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP berharap supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu.
Kerajaan tersebut tidak membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Untuk itu katanya, Pengerusi PH, Anwar perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN. – MalaysiaGazette
















