Jojo Events dan My Events International bergabung anjur iKON World Tour Take Off 2023

KUALA LUMPUR – Malaysia terus menjadi destinasi pilihan buat penghibur antarabangsa dengan yang terbaru konsert iKON World Tour Take Off 2023 akan diadakan pada bulan depan.

Penganjur bersama, Jojo Events dan My Events International menjanjikan persembahan ‘magikal’ kepada peminat muzik Korea, iKON yang terdiri daripada Jay, Song, Bobby, DK, Ju_Ne dan Chan pada 22 Julai ini

Kali terakhir iKON berada di Malaysia pada 2018 dan kini kembali ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album Take Off yang merupakan ebahagian daripada World Tour sejak berpisah dari label asal YG Entertainment.

Menurut pengasas Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir, pihaknya teruja apabila iKON mahu bertemu peminat di Malaysia.

“Persembahan yang bakal mereka beri kepada kita khasnya kepada peminat fanatik mereka bukanlah yang biasa-biasa sahaja. Nantikannya,” katanya pada sidang media di Hard Rock, baru-baru ini sambil menambah konsert tersebut akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC).

Syed Mohd Yusof yakin konsert itu tidak hanya memberikan hiburan tetapi juga memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara.

Jelasnya, konsert dan hiburan langsung mempunyai kuasa untuk menghasilkan pendapatan yang besar bagi negara dan merangsang pertumbuhan ekonomi secara besar-besaran.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan My Events International, Hema Kandy, pihaknya mengambil keputusan untuk mengadakan konsert di MIECC berikutan lokasi lain sudah ditempah.

“Memang ada cadangan untuk ubah ke lokasi seperti Axiata di Bukit Jalil atau Stadium Melawati tapi apakan daya, semua tempat-tempat sudah di tempah lebih awal untuk acara dan konsert.

“Kita janji akan anjur persembahan berkualiti tinggi selama lebih kurang dua jam dengan menyajikan yang terbaik dalam hiburan yang pernah dilihat oleh para peminat iKON,” ujarnya. -MalaysiaGazette