KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mencadangkan agar jentera parti itu tidak membantu kempen pilihan raya negeri (PRN) mana-mana calon Barisan Nasional (BN) yang sombong selepas ‘berkawan’ dengan DAP.
Setiausaha Agungnya, Daniel Wa berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan bersikap angkuh dan dilihat bangga menjadi jurucakap DAP, seolah-olah mereka hanya memerlukan DAP sebagai kawan.
Sehubungan itu, beliau amat berharap pucuk pimpinan MCA dapat meneliti secara mendalam cadangannya bagi mengajar golongan yang sombong, angkuh dan tidak sedar diri.
“Selama ini MCA setia dan berpegang teguh kepada prinsip serta semangat BN. Susah senang MCA tetap bersama BN, walaupun banyak parti komponen meninggalkan BN pada ketika BN berdepan waktu sukar.
“Kini dia sudah ada kawan baharu DAP, maka itu dia mendabik dada dan tidak perlukan MCA serta MIC yang digelar ‘biawak hidup’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hubungan antara MCA dan UMNO agak tegang kebelakangan ini selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’ dalam BN.
Kenyataan Lokman itu dikecam oleh pemimpin-pemimpin MCA dan MIC yang kesal kerana kedua-dua parti itu dikatakan tidak menyumbang kepada kemenangan BN.
Dalam perkembangan sama, Daniel turut menyarankan supaya MCA tidak meletakkan calon dalam PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – MalaysiaGazette
















