Khazanah PH aset
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Nilai aset bersih Khazanah Nasional Berhad jatuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akibat jualan lambak oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, situasi adalah berbeza sebelumnya ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi Khazanah selama sembilan tahun.

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, nilai aset bersih Khazanah naik hampir empat kali ganda iaitu daripada RM32 bilion kepada RM116 bilion dalam tempoh sembilan tahun.

“Namun ia jatuh hampir setiap tahun dalam tempoh lima tahun selepas PRU14 sehingga RM81 bilion pada akhir 2022 lepas iaitu penurunan RM35 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, antara aset yang dibina semasa zaman Najib tetapi dijual ketika era PH adalah IHH Berhad, sebahagian saham Tenaga Nasional Berhad (TNB), kepentingan dalam IPP Arab Saudi, DUO Residency, sebahagian saham CIMB, Hospital Prince Court, lebuh raya terbesar di Indonesia serta pegangan saham dalam Alibaba, SEA Ltd (Shopee), BDO Unibank Filipina, Infosys India, Farfetch UK dan PT Charoen Pokphand Indonesia.

Beliau menambah, kerajaan PN pula menjual kepentingan saham dalam Malaysian Genomics Resources Centre Bhd (MGRC), Kidzania Singapura, Kidzania Malaysia serta kepentingan saham Bank IDFC, Silterra dan Telekom Malaysia Berhad.

Katanya, selepas dijual secara lambak, aset-aset tersebut tidak diganti oleh Khazanah malah, tiada pelaburan yang signifikan yang dilaporkan syarikat berkaitan kerajaan itu (GLC) sejak PRU14.

“Yang sayangnya ialah banyak aset-aset telah mencatat keuntungan atau kenaikan nilai yang tinggi selepas ia dijual Khazanah.

“Misalnya nilai saham Shopee pernah naik sekitar 40 kali ganda selepas ia dijual dan nilai Silterra naik hampir lapan kali ganda selepas ia dijual,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berpandangan, nilai bersih Khazanah sepatutnya mampu naik sekurang-kurangnya hingga RM250 bilion hingga RM300 bilion sekiranya tidak berlaku penjualan lambak selepas PRU14.

“Jika aset-aset yang memberi pulangan tinggi asyik dijual dengan alasan untuk membayar pinjaman kerajaan dengan kadar faedah yang rendah maka nilai aset Khazanah akan semakin turun sehingga pupus,” katanya. – MalaysiaGazette