Majlis Pelancaran Inisiatif Korban RAHMAH bersama Pasar Raya Econsave di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 200 ekor kambing bernilai RM200,000 disumbangkan bagi menjayakan Program Korban Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sumbangan tersebut daripada Pasar Raya Econsave di Muar, Johor hari ini.

“Dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, Econsave Cash & Carry memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh membeli barangan pada harga yang rendah,” katanya ketika Majlis Pelancaran Inisiatif Korban RAHMAH bersama Pasar Raya Econsave di sini hari ini.

Menurut Salahuddin, KPDN menyokong usaha warga industri peruncitan dalam negara untuk menggalakkan rakyat berbelanja dalam masa yang sama tidak terbeban.

“KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini,” jelasnya.

Salahuddin berkata Pasar Raya Econsave melaksanakan empat inisiatif di bawah Program Rahmah yang terdiri daripada Jualan Rahmah, Jualan Daging Rahmah Sempena Hari Raya, Harga Borong Rahmah termasuk Korban Rahmah.

Sehingga kini, lebih 3000 jenis harga barangan telah diturunkan sepanjang Program Jualan Rahmah yang diterajui KPDN diadakan mulai Januari lalu.- MalaysiaGazette