Hadi DAP Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menempelak sikap pemimpin-pemimpin DAP yang mencampuri urusan agama Islam dan menentang peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan.

Menurut beliau, antara yang mereka tentang adalah arahan berpakaian menutup aurat yang diwajibkan kepada orang Islam.

“Adapun kalangan bukan Islam pula mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab.

“Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menarik balik kompaun yang dikenakan terhadap seorang wanita bukan Islam kerana berpakaian tidak sopan ketika bekerja di sebuah premis perniagaan di Kota Bharu pada Ahad lalu.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP menyifatkan tindakan kompaun itu melanggar hak kebebasan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan wanita itu juga bukan orang Islam.

Abdul Hadi menambah, DAP juga campur tangan dalam urusan pengharaman arak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, walhal ia dikuatkuasakan kepada umat Islam sahaja dan dikecualikan terhadap bukan Islam.

Bahkan, Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, pengharaman judi yang turut disokong oleh sebahagian bukan Islam tidak menyenangkan DAP dan angkatannya.

“Adakah semua ini termasuk alasan bahaya gelombang hijau?

“Walaupun Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mempelawa golongan bukan Islam untuk meminum arak sehingga pecah perut,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, Pas pernah beberapa kali berdialog dengan pemimpin besar DAP mengenai Islam.

Namun, beliau memberitahu, mereka tetap mahu memaksa Pas agar tidak bercakap banyak berkenaan Islam bagi menjaga pengaruh DAP.

“Maka, tinggallah bersama DAP sebahagian golongan yang mendengar nasihat yang salah itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, terdapat pemimpin DAP yang menentang sikap parti itu yang campur tangan dalam urusan agama Islam seperti yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan sudah terdapat hak bagi penganut agama lain namun mereka telah disingkirkan. – MalaysiaGazette