Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague menolak daripada mengiktiraf Final Award oleh Pihak Penuntut Sulu, membuktikan kumpulan itu tidak mempunyai asas perundangan untuk merampas aset Malaysia di Belanda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dengan keputusan itu, kerajaan Malaysia akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara sentiasa terjamin serta ditegakkan setiap masa.

Pada masa sama, katanya, kerajaan Malaysia juga telah mengambil langkah perlu termasuk memperolehi pembayaran kos daripada Pihak Penuntut rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu.

Jelas beliau, dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan penentangan Malaysia terhadap “Penghakiman Awal” oleh peguam penuntut, Dr. Gonzalo Stampa terhadap bidang kuasa.

“Penghakiman bersejarah ini merupakan petunjuk bahawa apa-apa usaha lanjutan oleh Pihak Penuntut dan pembiaya mereka untuk menguatkuasakan Final Award ini dibidang kuasa lain adalah sia-sia.

“Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda ini mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial yang telah dilaksanakan terhadap Malaysia oleh Pihak Penuntut Sulu yang berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan, kini telah dijamin melalui keputusan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan Belanda yang menolak permohonan daripada Pihak Penuntut Sulu untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan secara tidak sah oleh Dr. Stampa pada 28 Februari 2022 di Paris.

Final Award itu dikeluarkan hasil daripada proses timbang tara tidak sah yang dikemukakan oleh Pihak Penuntut yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda secara jelas dibuat berdasarkan tiga alasan penghakiman iaitu;

1.Pengeluaran Final Award adalah tidak sah berikutan pelantikan Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol sebelum ini sudah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol, sekali gus membatalkan semua asas tindakannya sejurus itu. Oleh itu, tiada pengiktirafan dan penguatkuasaan bagi Final Award boleh dilaksanakan.

2.Selain itu, mahkamah juga memutuskan Perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul General Borneo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.

3.Mahkamah Rayuan Belanda juga mendapati Award tersebut tidak dapat diiktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan Final Award di Paris.

Menurut Azalina, keputusan itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa keseluruhan proses timbang tara, termasuk Final Award yang dikeluarkan adalah tidak sah. – MalaysiaGazette