BUKIT MERTAJAM – Lelaki yang terlibat dalam insiden melanggar empat kenderaan sebelum melarikan diri dalam kejadian di Jalan Perniagaan Bukit Tengah menyerah diri hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Assisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia 50-an itu tampil kira-kira jam 1 tengah hari tadi di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
“Terdahulu kita mengesan satu rakaman video dimuatnaik di Twitter memaparkan kejadian langgar lari membabitkan beberapa kenderaan yang dipercayai berlaku di Jalan Perniagaan Bukit Tengah pada jam 6.30 petang semalam.
“Berdasarkan video itu, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Vios dipercayai keluar daripada simpang tiga sebelum melanggar tiga kereta lain yang berada di situ.
“Susulan itu, suspek mengundur kenderaannya dan melanggar kereta yang diparkir di bahu jalan sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dialami semua mangsa dalam kejadian tersebut.
“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















