Gambar hiasan

PARIS – Polis Perancis menembak mati seorang remaja berusia 17 tahun yang gagal untuk memberhentikan keretanya apabila diarahkan oleh polis trafik.

Mangsa dikenalpasti sebagai Nael M, berketurunan Algeria.

Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang anggota polis mengacukan pistol ke arah pemandu kereta, sebelum bunyi tembakan kedengaran.

Tembakan itu menyebabkan kereta itu terbabas ke bahu jalan dan berhenti.

Perkhidmatan kecemasan cuba menyelamatkan remaja itu di tempat kejadian, tetapi dia meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Anggota polis yang melepaskan tembakan telah ditahan dengan tuduhan membunuh.

Dua lagi penumpang yang berada di dalam kereta ketika kejadian.

Seorang penumpang melarikan diri manakala seorang lagi ditahan.

Ketua Polis Paris Laurent Nunez memberitahu stesen televisyen Perancis BFMTV, tindakan anggota polis itu “menimbulkan persoalan”, walaupun dia mencadangkan anggota polis itu mungkin berasa terancam.

Peguam keluarga lelaki berusia 17 tahun itu, Yassine Bouzrou menegaskan video yang tular itu “jelas menunjukkan seorang anggota polis membunuh seorang lelaki muda”.

Dia menambah, keluarga mangsa telah memfailkan aduan terhadap polis kerana “berbohong” kerana pada mulanya mendakwa kereta itu cuba melanggar anggota polis.

Tembakan itu mencetuskan beberapa siri protes pada malam Selasa di Nanterre, lokasi remaja itu dibunuh.

Kereta, tong sampah dan palet kayu dibakar, dan bunga api dinyalakan.

Tujuh orang telah ditangkap selepas berhadapan dengan polis rusuhan di tempat kejadian, kata pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin memberitahu Parlimen pada hari Selasa bahawa dua anggota polis yang terlibat dalam insiden itu sedang disoal siasat dan menyifatkan video yang dikongsi di media sosial itu “amat mengejutkan”. – Agensi