Plaza Tol Alam Damai di Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

KUALA LUMPUR – Selepas menikmati tol percuma selama dua minggu dari 16 hingga 29 Jun, para pengguna fasa dua Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan mula dikenakan tol di Plaza Alam Damai bermula tengah malam ini.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd yang merupakan pemegang konsesi SUKE berkata, kadar yang akan dikenakan bermula pada RM2.30 bagi kenderaan kelas 1.

Menurut kenyataan itu lagi, kutipan tol dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan Touch N Go, SmartTag dan RFID.

“Sehubungan dengan itu pengguna disaran memastikan baki kad Touch N Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki SUKE,” katanya.

Untuk rekod, Fasa 2 Lebuhraya SUKE dari Sri Petaling ke Cheras-Kajang dibuka pada 16 Jun, manakala Fasa 1 merangkumi jajaran dari Cheras-Kajang ke Ulu Kelang pula telah dibuka sejak 16 September tahun lalu.

Kini, kesemua 24.4 kilometer jajaran utama Lebuhraya SUKE telah beroperasi sepenuhnya. Fasa 3 melibatkan Persimpangan Alam Damai pula masih dalam pembinaan dan dijangka dibuka dalam suku ketiga tahun ini.

Lebuhraya SUKE ialah satu daripada enam lebuh raya kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), pengendali lebuh raya terbesar di Lembah Klang. – MalaysiaGazette