Melayu Tun Mahathir
Dr Mahathir Mohamad

DALAM usia yang semakin menghampiri 100 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin galak memperjuangkan agenda memperkasakan orang Melayu.

Antara agenda yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu menerusi Proklamasi Melayu adalah membasmi kemiskinan yang masih membelenggu sebahagian besar kaum berkenaan.

Sebagai bekas pemimpin utama tiga parti berteraskan Melayu iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), tidak dinafikan bahawa isu berkaitan orang Melayu amat dekat di hati Dr Mahathir.

Cuma yang menghairankan mengapa baru sekarang beliau beriya-iya menonjolkan dirinya sebagai pejuang yang membela nasib orang Melayu?

Walhal, tidak banyak berlaku perubahan positif terhadap orang Melayu khususnya dari segi penguasaan ekuiti semasa dua kali Dr Mahathir berkuasa dahulu.

Tempoh 22 tahun selaku Perdana Menteri keempat gagal dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan ekonomi orang Melayu secara menyeluruh.

Memang ketika itu, kerajaan memberi keutamaan kepada kontraktor bumiputera bagi melaksanakan projek-projek pembangunan serta dianugerahkan keistimewaan lain seperti permit mengimport (AP) dan pembiayaan perniagaan melalui agensi kerajaan termasuk Mara dan Tekun.

Namun, kesan limpahan yang diharapkan sampai kepada orang Melayu tidak berlaku kerana sebahagian besar keistimewaan tersebut dikatakan hanya dinikmati oleh segelintir individu yang mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang politik yang berkuasa.

Akibatnya, sasaran penguasaan 30 peratus ekuiti bumiputera seperti yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baharu (DEB) tidak kesampaian.

Saban tahun, hanya seorang sahaja tokoh korporat Melayu iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang berjaya menduduki carta 10 individu terkaya di Malaysia manakala yang selebihnya didominasi oleh ahli-ahli perniagaan kaum Cina.

Setelah kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan, Dr Mahathir mengambil jalan mudah dengan menyalahkan sikap orang Melayu sebagai punca matlamat yang disasarkan DEB gagal dicapai.

Katanya, orang Melayu gemar mencari jalan mudah dengan menjual kontrak dan AP yang dianugerahkan kepada mereka kepada orang lain.

Secara tidak langsung, beliau mengakui bahawa pentadbirannya dahulu gagal memastikan hanya orang Melayu dan bumiputera yang benar-benar layak dan berkemampuan menerima pelbagai keistimewaan tersebut.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Proklamasi Melayu yang dijaja Dr Mahathir dan konco-konconya merupakan satu pengesahan terhadap kegagalan beliau membela nasib orang Melayu dahulu.

Mungkin Dr Mahathir ingin menebus kembali kesilapannya, namun kini ia sudah terlambat kerana beliau sendiri sudah terbukti tidak lagi mempunyai taring dalam dunia politik Melayu.

Sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir berehat dan beri laluan kepada Kerajaan Perpaduan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membela rakyat termasuk orang Melayu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Malaysia sudah bersilih ganti PM, cuma persoalannya pada zaman PM mana yang orang melayu sungguh cemerlang dan berjaya. Pada zaman PM mana, Malaysia memiliki ramai teknokrat, Profesor, Engineer,, Doktor dan Lawyer.

Comments are closed.