Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Walaupun Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menafikan khabar angin kenaikan harga beras pada Julai dan menyatakan bekalan mencukupi, tetapi bukan semua yang bersetuju dengannya.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya di bawah syarikatnya mengalami kekurangan beras tempatan sebanyak 70 peratus.

Beliau berkata, cawangan Mydin di Semenyih, Selangor yang dilawati Foong Hin juga mengalami kekurangan seperti cawangan-cawangan lain sebelum lawatan mengambil tempat.

“bagaimanapun, cawangan yang dilawati timbalan menteri telah menerima bekalan beras tempatan, mungkin disebabkan timbalan menteri telah melawat,” katanya kepada China Press.

Ameer secara berseloroh berkata, lawatan timbalan menteri mungkin dapat membantu pasar raya Mydin untuk mendapatkan lebih banyak stok beras tempatan.

Beliau berkata, kesemua 61 cawangan Mydin di seluruh negara telah berdepan kekurangan stok beras tempatan sejak Mei.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada faktor cuaca yang menyebabkan penuaian yang kurang baik dan peningkatan kos.

Jelasnya, keuntungan yang dinikmati peruncit melalui beras tempatan telah menurun kerana pembekal menjual pada harga RM12.80 atau RM12.90 untuk pek lima kilogram sedangkan harga siling runcit adalah RM13.

“Kadar keuntungan yang kecil mendorong segelintir peruncit kecil-kecilan enggan menempah beras tempatan tetapi pasar raya besar masih menjual tanpa mengira keuntungan yang kecil.

“Masalah sekarang, pasar raya besar pun tidak mendapat bekalan beras tempatan yang mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong-Pemborong Beras Semenanjung Malaysia, Chen Rui Fa mencadangkan kerajaan mengimport lebih banyak beras kerana musim tuaian seterusnya hanya mengambil tempat pada Ogos atau September.

Katanya kepada China Press, kuota kepada pemborong beras harus dinaikkan untuk mengatasi kekurangan yang berlaku.

Foong Hin sebelum ini menegaskan bahawa harga beras putih tempatan tidak mengalami sebarang kenaikan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan pengguna.

Katanya, harga kawalan maksimum beras putih tempatan di peringkat pengguna masih pada kadar RM2.60 sekilogram sepertimana yang termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).  – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kenapa selepas PH-BN memerintah semua barang makanan asas tidak mencukupi, haritu ayam dan telur tidak cukup, kali ini beras pula. BN yang sudah lama memerintah tidak boleh hendak ajar ke YB Mat Sabu cara menguruskan stok atau BN yang sekarang semua pun sama lembab atau newbie yang tak tahu lansung.

Comments are closed.