Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan membakar naskhah suci al-Quran di luar Stockholm Central Mosque, Stockholm, Sweden pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pas menyifatkan perbuatan itu sebagai amat keterlaluan, ekstrem dan menghina kesucian agama Islam.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, tidak cukup dengan membakar, pelaku biadab tersebut turut meletakkan daging babi di atas naskhah suci al-Quran tersebut.

Selain itu, katanya, lelaki terbabit memijaknya bagi tujuan untuk menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Ia adalah satu tindakan yang teramat biadab, keji dan Islamofobia yang amat melampau, apatah lagi ia dilakukan pada hari sambutan perayaan Aidiladha.

“Perbuatannya mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia sesudah ahli politik ekstremis berhaluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan melakukan tindakan serupa di Stockholm, Sweden hujung Januari lalu,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Semalam, seorang lelaki fahaman ateis membakar al-Quran di luar Masjid Jamek Stockholm, Sweden telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Memetik laporan Al Jazeera, Salwan Momika yang merupakan pelarian dari Iraq dikatakan melakukan perbuatan itu untuk mendesak kerajaan Sweden mengharamkan al-Quran di negara berkenaan.

Sebelum membakar kitab suci itu, Salwan yang dikatakan berfahaman ateis meletakkan sekeping bakon ke dalam al-Quran dan kemudian memijaknya.

Kemudian, dia mengoyakkan naskhah al-Quran tersebut dan membakarnya sambil seorang lagi lelaki berucap kepada orang ramai di lokasi itu dengan menggunakan megafon.

Jelas Muhammad Khalil, di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Aidiladha dengan penuh tawaduk dan kesyukuran serta dunia berada di ambang ketidaktentuan berikutan pelbagai konflik yang berlaku, insiden seperti itu perlu dihalang.

Katanya, ia supaya tidak berlaku pertembungan antara agama mahupun konflik antara negara yang mampu membawa kepada kesan dan akibat yang amat buruk kepada keamanan sejagat dan dunia.

“Kebebasan bersuara yang diamalkan barat sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama yang lain.

“Adalah amat tidak wajar kepada mana-mana individu dan kumpulan dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutamanya dalam bentuk provokasi seperti membakar al-Quran mahupun melukis karikatur jahat berupa Nabi Muhammad SAW.

“Dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab ini yang telah mencemarkan kesucian agama Islam tambahan lagi pada Aidiladha yang mulia ini,” katanya.

Beliau menyatakan, menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya. – MalaysiaGazette