Dr. Muhamad Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Tidak kira siapa menteri berkenaan, jika beliau menyalahi undang-undang harus dikenakan tindakan sewajarnya, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

“Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang, waima siapa dan apa sekali pun jawatan kamu.

“Saya mohon untuk YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mengambil tindakan terhadap kelakuan menteri yang tidak wajar ini.

“Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri kerana perbuatannya sama sekali tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam media melaporkan berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila seorang menteri menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa bagi menyelamatkan seorang warga China yang ditahan masuk ke Malaysia.

Warga China itu, seorang wanita dikatakan dinafikan memasuki negara ini setelah tiba semalam.

Menteri itu yang mendapat tahu mengenai tahanan terbabit telah pergi ke KLIA dan memasuki dalam dewan ketibaan tanpa memohon pas.

Bila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah Polis Bantuan KLIA dan pegawai Imigresen kerana mahu ‘menyelamatkan’ wanita warga China itu yang ditahan memasuki negara semasa tiba semalam.

Difahamkan ini adalah kali ketiga menteri terbabit melakukan tindakan itu terhadap penumpang yang ditahan masuk.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, seseorang menteri tidak bermakna boleh melakukan apa sahaja.

“Menteri, bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat bukan sebaliknya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri buat kecoh di KLIA, didakwa cuba selamatkan pelancong China?