Seorang pengawal keselamatan maut selepas digilis sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu hari ini.

MELAKA – Seorang pengawal keselamatan maut selepas digilis sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, R. Murali, 46, yang menunggang motosikal jenis Honda NF100 meninggal dunia tempat kejadian selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa  bergerak lurus di Lebuh AMJ dari arah Bukit Palah menghala ke Semabok.

“Siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila mangsa ketika melalui persimpangan lampu isyarat Bukit Piatu telah bergesel dengan sebuah kenderaan lain yang belum dapat dipastikan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum digilis kenderaan berkenaan mengakibatnya maut ditempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Waris mangsa telah dikesan dan diminta hadir ke Forensik Hospital Melaka untuk proses pengecaman mayat dan usaha mengesan saksi kemalangan sedang dijalankan.

“Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup di lokasi kemalangan dan setakat ini tiada saksi bebas yang tampil membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette