KDNK Terengganu
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Terengganu mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM37.3 bilion tahun lalu iaitu peningkatan 5.9 peratus berbanding 2021.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran KDNK asal yang ditetapkan dalam Belanjawan 2023 bagi negeri berkenaan adalah antara 3.5 peratus hingga 4.5 peratus.

Menurut beliau, kadar pertumbuhan yang positif itu menunjukkan ekonomi Terengganu dalam keadaan sihat dan semakin berkembang.

“Jadi, data ini sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi Terengganu tak berkembang sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Samsuri memberitahu, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan dan Makanan dan Minuman serta Perkhidmatan Kerajaan terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Beliau menambah, sepanjang tempoh lima tahun lalu, KDNK Terengganu menunjukkan aliran menaik iaitu 2.5 peratus pada 2018, 3.3 peratus (2019) dan 3.6 peratus (2021) .

“Penguncupan sebanyak 5.7 peratus pada 2020 adalah impak pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi dunia keseluruhannya,” jelasnya. – MalaysiaGazette