Nurshamil Abd. Ghani

KUALA LUMPUR – Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd. Ghani mendedahkan dia diminta membayar sebanyak RM50,000 sekiranya mahu menamatkan kontrak dan meninggalkan kelab itu.

Pemain itu mendakwa, tuntutan tersebut hanya menguntungkan kelab dan memberi kerugian kepada pemain.

Ini kerana, katanya, kelab gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tiada bonus setelah pasukan berkenaan naik ke Liga Super dan juga tiada bonus perlawanan.

Sebelum ini, bekas pemain Melaka United itu menegaskan menerusi siaran TikTok secara langsung bersama beberapa rakan sepasukan bahawa beliau sudah tiada hati untuk bermain dengan Kelantan FC.

Ekoran krisis yang berlaku dalam pasukan ketika ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysua (MFL) mengumumkan bahawa The Red Warrior telah dikenakan sekatan perpindahan pemain berikutan isu tunggakan gaji.

Selain itu, salah seorang bekas pemain TRW Kelantan iaitu Rozaimi Rahamat dilaporkan sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham. – MalaysiaGazette