Amin Aznizan kini mengendalikan tiga cabang bisnes yang berbeza.

KUALA LUMPUR – Tanpa kilauan populariti, hakikatnya masih ramai anak muda negara ini  telah meraih kejayaan dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung membanggakan Malaysia di persada dunia.

Kejayaan mereka ini sekali gus memberi inspirasi buat generasi muda untuk terus menempa lebih banyak pencapaian hebat dalam setiap bidang diceburi mereka dan tidak terkecuali anak muda Sarawak yang mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam bidang perniagaan.

Semangat untuk mengharumkan nama negeri kelahiran sendiri di persada dunia menerusi keringat, penampilan dan kreativiti mereka terbukti menerusi pencapaian yang diperoleh dan kejayaan itu turut sama dikongsi seluruh rakyat negara ini.

Salah satunya adalah anak kelahiran Miri, Amin Aznizan yang baru berusia 34 tahun ini. Anak sulung daripada tiga beradik mungkin tidak dikenali di media sosial jika dibandingkan dengan usahawan selebriti lain.

Namun lulusan Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di Grenoble Graduate School Of Business dari Perancis ini membuktikan tiada kejayaan yang mustahil dalam hidup jika bersungguh-sungguh untuk mencapai impian yang diidamkan.

Malah kata Amin, jatuh bangun dalam perniagaan merupakan lumrah yang perlu dihadapi dan merupakan pengalaman yang sangat berguna untuk mendewasakan dirinya.

Hari ini, dia merupakan Pengarah SMTC Global yang mengendalikan latihan dan program keselamatan untuk syarikat minyak dan gas dan Pengarah AnakMiri Kitchen yang menguruskan bisnes makanan dan minuman.

Amin juga bergelar Pengarah Urusan SOCC Holdings Sdn. Bhd. yang terlibat dalam perkhidmatan kate­ring di pelantar dan kapal di dalam dan luar negara.

Apa pun perjalanan yang dilaluinya juga tidak semudah yang disangka. Pernah mengalami kerugian hampir RM4 juta pada awal permulaan perniagaannya apabila menjalankan bisnes sabun organik.

Amin membuka Kedey Kamek iaitu sebuah restoran yang menawarkan hidangan bumi Kenyalang itu.

“Saya tidak nafikan kekurangan pengalaman dan faktor harga produk yang dijual antara faktor syarikat saya itu terpaksa ditutup operasi.

“Waktu itu kami mengusahakan produk organik berasaskan susu kambing hampir enam tahun dan pasaran di Malaysia masih lagi baru.

“Dan mungkin juga disebabkan ia produk organik dengan harga yang sedikit mahal menyebabkan ia kurang mendapat sambutan. Walaupun mengalami kerugian RM3 juta, namun ia adalah kos untuk mendidik kita menjadi lebih bijak,” katanya.

Amin menambah, beliau kemudian membuka Kedey Kamek iaitu sebuah restoran yang menawarkan hidangan bumi Kenyalang itu.

“Apa yang saya lakukan ini kerana ingin membalas jasa negeri kelahiran yang telah membentuk siapa diri saya dan inilah sumbangan yang mampu saya beri kepada negeri tercinta.

“Melihat pengunjung terutama orang luar yang datang ke Kedey Kamek menikmati hidangan asli Sarawak di Kedey Kamek sudah cukup membuatkan saya rasa sangat bangga dan terharu.

“Impian saya mahu membawa nama Sarawak ke luar niaga apabila saya menceburi bidang perniagaan kerana masih terdapat perspepsi penduduknya masih tidak maju dan dikaitkan dengan hutan,” ujarnya lagi.

Anak syarikat, SOCC Offshore Sdn. Bhd. yang diuruskan Amin terlibat dalam perkhidmatan kate­ring di pelantar dan kapal dalam dan luar negara.

Amin turut berkongsi pengalamannya itu dan memberi nasihat agar generasi muda tidak terikut dengan trend menjadi pempengaruh di media untuk cepat menjana kekayaan.

Jelasnya, apa yang berlaku ketika ini hanya satu peratus daripada kejayaan dan yang penting berapa lama mereka dapat bertahan dengan trend itu.

“Kita kena sedar pendidikan bukan sekadar untuk menjana duit, namun ia untuk membentuk siapa kita dan bagaimana karakter itu terbina.

“Kita boleh nampak tahap pemikiran dan mentaliti seseorang berdasarkan pendidikan mereka,” katanya.

Sementara itu, Amin memberitahu, SOCC Hol­dings Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya, SOCC Offshore Sdn. Bhd yang terlibat dalam perkhidmatan kate­ring di pelantar dan kapal mengunjurkan pertumbuhan pendapatannya sebanyak 30 pe­ratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, potensi pertumbuhan itu bakal disumbangkan oleh inisiatif syarikat untuk menambah pelanggan baharu dan mendapatkan lebih banyak kontrak baharu dalam bidang katering di luar negara.

Menurut beliau, sebagai permulaan, syarikat telah berjaya mendapatkan kontrak baharu daripada sebuah syarikat di negara Teluk. – MalaysiaGazette