kursus elektif kelayakan mikro
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjadikan Malaysia sebagai satu daripada rujukan utama berkenaan penawaran kursus pendek bersifat kelayakan mikro.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu dinyatakan dalam kertas polisi: Laluan Pembelajaran Fleksibel dalam Pendidikan Tinggi bertajuk ‘Kursus Pendek, Micro-credentials dan Laluan Pembelajaran Fleksibel: Satu Pelan Tindakan untuk Pembangunan Dasar dan Tindakan’.

Menurut beliau, kertas polisi 52 halaman yang ditulis oleh penasihat strategi pendidikan tinggi, Peter van der Hijden dan Michaela Martin itu membincangkan mengenai trend, cabaran dan tindakan yang  menyumbang kepada pelaksanaan yang berjaya bagi kursus pendek dan kelayakan mikro di persada global.

Katanya, Garis Panduan Amalan Baik: Microcredential dikeluarkan MQA pada tahun 2020 menjadi antara topik utama selain Micro-crendentials di Universiti Sains Malaysia (USM) yang turut menjadi sebahagian pengisian penting dalam kertas polisi berkenaan.

“Selain Malaysia, negara lain yang menjadi rujukan UNESCO termasuk Australia, Colombia, New Zealand, Perancis dan Jamaica.

“Rujukan UNESCO ini memcerminkan Malaysia mempunyai penawaran kursus pendek bersifat kelayakan mikro yang baik sehingga mampu menarik minat masyarakat global,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, perkara itu terbukti apabila Malaysia menjadi antara negara paling dicari di dunia untuk kelayakan mikro di Google Trends.

Katanya, pihaknya sentiasa menggalakkan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sama ada awam atau swasta untuk menawarkan kursus kelayakan mikro bagi menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) di negara ini.

Beliau berkata, selain mampu menjadi sumber baharu kelestarian IPT, ia juga memberi peluang untuk meningkatkan kelayakan akademik individu yang mengikutinya.

“Penawaran kursus kelayakan mikro bersifat terbuka, justeru bukan hanya di Malaysia, malah ia boleh ditawarkan ke luar negara bagi pelajar antarabangsa.

“Perkara ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu menarik bakat terbaik dunia seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast