Nurshamil Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Kelantan FC memberi penjelasan mengenai dakwaan salah seorang pemain mereka, Nurshamil Abd. Ghani yang mendakjwa pasukan itu meminta RM50,000 kepadanya jika mahu menamatkan kontrak dengan lebih awal.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, tuntutan tersebut telah disensasikan oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan perspektif negatif kepada Kelab.

“Untuk makluman pihak Kelab telah menerima permohonan untuk penamatan kontrak secara bersama daripada Pemain tersebut yang memohon bulan Mei 2023 sebagai bulan terakhir bersama Kelab.

“Pemain tersebut adalah salah seorang pemain yang penting dan berpengaruh di dalam pasukan dan adalah figura penting kepada kelab sejak dua  musim sebelum ini dimana beliau telah meraih gelaran penjaring terbanyak tempatan untuk dua musim berturut-turut.

“Atas persembahan cemerlang dan memberangsangkan beliau, Kelab juga telah memberikan penghargaan kepada beliau dengan bersetuju memberikan kenaikan gaji kepada beliau,” katanya kenyataan di Facebook milik kelab itu.

Nurshamil berkata demikian menerusi laman media sosial miliknya baru-baru ini yang mana turut mendedahkan kepincangan lain yang berlaku dalam pasukan.

Kelantan FC menambah, berdasarkan populariti dan reputasi yang dicapai oleh pemain tersebut bersama kelab juga memiliki kepentingannya di dalam pasukan dan lebih penting pelaburan yang telah kelab belanjakan.

Ia untuk pembangunan prestasi dan kebolehan bola sepaknya dan pihak kelat berpendapatr merasakan adalah tidak wajar untuk melakukan penamatan kontrak beliau secara bersama tanpa sebarang kompensasi kepada Kelab.

Jelas kelab itu, pemain tersebut mempunyai baki kontrak sehingga November 2024 dan alam kes penamatan kontrak sebelum tamat tempoh oleh pemain, sama ada secara bersama mahupun secara sebelah pihak, kelab berhak untuk menuntut nilai kompensasi bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut.

Dalam kes itu, pemain tersebut masih mempunyai lapan belas (18) bulan (Jun 2023 – November 2024) baki tempoh kontrak lagi.

“Sungguh pun begitu, sebenarnya nilai RM50,000 yang dituntut tersebut adalah hanya lebih kurang separuh sahaja daripada nilai baki kontrak yang berhak dituntut oleh Kelab.

“Ini sebenarnya menunjukkan betapa pemain tersebut adalah bernilai dan penting kepada kelab di mana kepergian beliau bakal merencatkan persiapan Kelab untuk pusingan kedua liga.

“Pihak kelab sentiasa menghormati keputusan setiap pemain dalam perkara ini, namun pelaburan pihak kelab dalam pembangunan pemain juga perlu diambil kira di mana kelab pastinya mengalami kerugian sekiranya pemain yang disemai dan dibangunkan hanya perlu semudah meminta penamatan bersama tanpa kompensasi dan kemudiannya bebas memasuki kelab lain untuk meraih manfaat yang lebih tinggi.

“Budaya ini pastilah merugikan kelab sedangkan kelab ini yang mengasah dan membangunkan bakat Pemain tersebut tidak menerima sebarang manfaat daripada pemindahan pemain yang dibangunkan tersebut,” kata kenyataan itu.

Namun Kelantan FC memberitahu, nilai RM50,000 itu bukanlah suatu nilai muktamad dan kelab masih terbuka kepada rundingan untuk mencapai penamatan secara persetujuan bersama dalam keadaan baik dan harmoni yang memberikan keuntungan kepada semua pihak.

“Pihak kelab berharap penjelasan ini adalah jelas dan semua pihak berhenti mensensasikan isu ini,” jelas kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette