Rumah kejadian seorang remaja lelaki dipercayai mencekik hingga mati adiknya di Kampung Bukit Piatu, Melaka, hari ini.

MELAKA – “Sebaik masuk ke dalam rumah, saya terkejut melihat si abang berusia 14 tahun sedang mencekik leher adik lelakinya, berusia sembilan tahun yang sudah terbaring dalam keadaan kebiru-biruan dan tidak bernyawa.

“Saya terus jerit dan menepis tangan abangnya yang ketika itu seolah-olah tidak sedar akan perbuatannya itu,” kata Qhurun Ain Johani, 31, yang menjadi saksi kejadian menyayat hati itu di Kampung Bukit Piatu kira-kira 12 tengah hari tadi.

Suri rumah itu mengetahui kejadian malang itu apabila dihubungi ibu kepada dua beradik itu yang meminta bantuanya memeriksa keadaan rumah apabila terlihat anak sulungnya itu sedang mencekik leher anak ketiganya itu melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Qhurun Ain Johani

“Saya tak sangka kejadian ini berlaku depan mata saya kerana si abang seorang remaja yang baik walaupun pernah mengalami trauma seperti dirasuk baru-baru ini.

“Sebelum ini, abangnya dikatakan ada masalah seperti menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah tiba-tiba meracau seperti dirasuk tapi sudah baik selepas berubat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu petang tadi tular klip video berkaitan kejadian seorang remaja lelaki mencekik hingga mati adik lelakinya di Kampung Bukit Piatu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes masih disiasat melibatkan dua beradik lelaki berusia 9 dan 14 tahun. Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette