LONDON – Bekas pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti memeterai perjanjian dengan Brazil untuk memegang jawatan pengurus skuad kebangsaan negara itu, lapor pakar perpindahan Fabrizio Romano.
Dia bagaimanapun hanya akan memulakan tugasannya pada Jun tahun depan untuk kejohanan Copa America 2024.
Keputusan itu agak mengejutkan kerana secara tradisi Brazil menggunakan jurulatih dari Brazil sendiri malah ada beberapa pihak juga mempersoalkan tindakan Persekutuan Bolasepak Brazil itu.
Ancelotti yang masih memiliki kontrak bersama dengan Realpada ketika ini akan menjadi pengurus pasukan kebangsaan buat pertama kali dalam kariernya.
Jawatan pengurus tetap untuk Brazil masih kosong sebaik sahaja Tite meletakkan jawatannya selepas kegagalan pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu.
Ramon Menezes yang merupakan interim selepas perletakan jawatan Tite telah digantikan dengan interim yang baharu iaitu Diniz selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan.
Diniz akan terus bertugas dengan Fluminese dan hanya akan mengendalikan Brazil untuk tugasan minggu antarabangsa terutama sekali kelayakan Piala Dunia.
Namun kehadiran Ancelotti sebagai pengurus pasukan Brazil pastinya akan menjadi perhatian dunia kerana dia memiliki rekod pengurusan luar biasa di peringkat kelab.
Dia bakal berdepan cabaran baharu untuk mengendalikan pasukan kebangsaan paling popular di dunia iaitu Selecao.
Sebelum ini Presideng Real, Florentino Perez sudah membayangkan bahawa kelab itu tidak akan melanjutkan kontrak Ancelotti. – Agensi