BANGKOK- Pulau pelancongan popular, Koh Samui di Thailand sedang bergelut dengan masalah kekurangan bekalan air, berikutan kemarau yang sedang melanda dan ledakan kemasukan pelancongan pascapandemik, menurut laporan media.
Pada Jun lalu, pihak berkuasa mengumumkan langkah untuk mencatu bekalan air bermula pada 1 Julai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Air akan dibekalkan di beberapa wilayah di pulau itu secara bergilir-gilir setiap hari, memetik data kerajaan tempatan.
Terdapat penduduk yang mengadu mengalami gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran bekalan air hanya akan bertahan paling lama sehingga penghujung bulan ini – kira-kira 30 hari.
Banyak kawasan takungan air berada pada paras yang sangat rendah, lapor laman sesawang The Thaiger.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Koh Samui, Ratchaporn Poonsawat berkata pengusaha hotel dan pekerja pelancongan lain mungkin akan terpaksa membeli air daripada pembekal swasta.
Beliau berkata, ia akan membawa kepada peningkatan dalam kos operasi, yang akhirnya akan menjejaskan kos percutian pengunjung.
– BERNAMA-dpa