Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Perikatan Nasional Publika, Kuala LUmpur. Foto MUHD NA’IM, 22 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pertemuan antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membuahkan persetujuan mengenai Proklamasi Orang Melayu.

Muhyiddin berkata, pertemuan empat mata yang dibuat kedua-dua pemimpin itu semalam bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

“Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua. Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.

“Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin bertemu Mahathir bagi berbincang berkenaan Proklamasi Melayu.

Menurut Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, pertemuan itu mengambil masa sehingga dua jam.

“Pertemuan antara kedua tokoh pemimpin melayu yang sanggup ketepikan perbedaan politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini harus diberi pujian melangit.

“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baru kepada keseluruhan orang-orang melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan melayu secara mutlak,” katanya Khairuddin. – MalaysiaGazette

Mahathir, Muhyiddin bincang Proklamasi Orang Melayu