Gambar tular media sosial suami pelakon wanita yang mempamerkan nombor plat fancy QPA1 untuk kenderaan supercar jenis McLaren akhirnya dikesan dan direkam keterangan oleh polis

KUALA LUMPUR – Polis sudah selesai merekodkan keterangan daripada individu yang  dikenali sebagai Opai selepas tular di media sosial mempamerkan nombor pendaftaran palsu di kereta Mclaren dipercayai miliknya.

Proses itu berlangsung selepas pemilik kenderaan mewah itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas tular dengan memperagakan nombor plat pendaftaran palsu dan ‘fancy’ QPA1′ baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Saleh berkata, polis trafik telah menyiasat dan merakam keterangan yang diperlukan daripada pemilik kenderaan mewah itu.

“Pegawai penyiasat JSPT telah selesai merakam keterangan pemilik kenderaan kereta mewah sportcar jenis McLaren yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu fancy QPA1 di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur Jalan Tun H.S.Lee.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut polis untuk dilengkapkan sepenuhnya dan apabial dilengkapkan nanti ia akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan ringkas perkembangan terkini kes tersebut malam ini.

Tambah Sarifudin, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 108 (3) (f) APJ 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis belum terima laporan isu plat fancy kereta mewah QPA1

Terdahulu, pada Isnin Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika ditemui pemberita di ibu negara mengesahkan bahawa polis beluk menerima sebarang laporan polis berhubung nombor plat fancy ‘QPA1’ membabitkan sebuah kereta mewah jenis McLaren Mercedes yang tular di ibu negara baru-baru ini.

Beliau pada masa yang sama turut mengesahkan bahawa nombor pendaftaran QPA1 itu sememangnya wujud dan diguna pakai oleh sebuah kereta mewah jenis Mercedes.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah memohon bantuan polis kontinjen Kuala Lumpur untuk mengesan dan menyelesaikan isu tersebut selepas mendapati nombor pendaftaran itu digunakan secara fancy sebagai OPA1 dan menjadi tular apabila dimuat naik oleh suami kepada pelakon Fatin Afeefa.

“Sekiranya kami (polis KL) mendapat laporan, kita akan melakukan siasatan sekiranya terdapat kesalahan oleh kenderaan itu.

“Namun pada masa yang sama, polis Kuala Lumpur ada menerima permohonan bantuan daripada pihak JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membuka First Information Report (FIR) berhubung perkara ini,” katanya ketika ditanya pemberita di ibu negara semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast