Najli Yakob

MELAKA – Remaja lelaki 14 tahun yang dipercayai mencekik sehingga mati adiknya di sini semalam didakwa sering menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah asrama sejak tahun lalu.

Perkara itu didedahkan bapanya, Najli Yakob, 42, yang mendakwa anak sulungnya itu kerap mengadu hampir setiap hari dipukul, disepak dan dicekik pelajar senior asrama sebuah sekolah arab di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Alor Gajah itu.

Menurut bapa kepada empat anak berusia 14 hingga 4 tahun itu, dia terkilan kerana setiap kali mendapat aduan anaknya itu, dia beranggapan buli sebagai lumrah di sekolah berasrama.

“Sejak masuk asrama tingkatan satu tahun lepas, hampir setiap petang dia akan menghubungi isteri menceritakan bagaimana dia dibuli beberapa pelajar senior tapi saya memintanya kuatkan semangat.

“Lama-kelamaan selepas setahun, setiap kali balik rumah, dia akan meracau-racau seperti trauma dan beristigfar, malah pernah beberapa kali berlaku kejadian saya dan isteri dicekiknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu, di sini lewat malam tadi.

Tambahnya, sejak kejadian itu dia ada membawa anaknya itu mendapatkan rawatan yang kemudian menunjukkan perkembangan positif hujung bulan lalu, tetapi ustaz ada memaklumkan anaknya trauma kerana menjadi mangsa buli pelajar senior.

“Selepas itu, baharulah anak saya sebutkan dua nama pelajar yang pernah mencekiknya dan menyimbah air ketika dia sedang tidur tetapi memintanya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan warden atau akan dibuli lebih teruk.

“Susulan itu, saya mengadukan hal ini kepada pihak sekolah malah sudah membuat laporan polis selepas mendapati kesan kecederaan pada badan anak, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelajar terbabit sehingga ke hari ini,” tambahnya lagi.

Gambar kanak-kanak berusia 9 tahun (kiri) yang meninggal dunia dipercayai dicekik abang kandungnya (kanan) di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka, petang semalam.

MalaysiaGazette malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah.

Sebaik membuka pintu, jirannya itu terkejut apabila mendapati remaja lelaki berkenaan sedang mencekik adiknya yang sudah tidak bernyawa sebelum dia segera menepis tangan pelajar tingkatan dua itu.

Mengulas kejadian menyayat hati itu, Najli yang merupakan tukang urut berkata, dia berada di Terengganu atas urusan kerja, manakala isterinya bertugas sebagai jururawat ketika kejadian.

“Sepatutnya, anak ketiga saya ke sekolah, tapi disebabkan sakit mata dia terpaksa tinggal di rumah berdua dengan abangnya namun saya dan isteri sentiasa memantau CCTV bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Tak sangka pula rupa-rupanya apa yang kami bimbangi terjadi apabila melihat rakaman CCTV, dia tiba-tiba dia mencekik leher adiknya itu yang sedang berada di atas sofa dan bergelut sehingga jatuh ke lantai.

“Selepas adiknya tidak sedarkan diri, dia berkali-kali menumpuk pipi kanan dan kiri sambil menjerit Subhanallah,” katanya menahan sebak. – MalaysiaGazette