KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyambut baik langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus selepas menaikkannya pada Mei lalu.
Ketuanya, Shahir Adnan bagaimanapun menyeru, agar BNM dapat memperhalusi keputusan akan datang supaya OPR tidak dinaikkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir.
“BNM perlu memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
“Jangan jadikan BNM sebagai alat politik mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Shahir, keadaan ekonomi negara agak meruncing dengan kejatuhan nilai ringgit mencecah paras terburuk selama berbulan-bulan.
Sehingga kini, katanya, masih tiada usaha tuntas yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam mengukuhkan nilai ringgit.
“Kestabilan politik dan prestasi ekonomi negara berkait rapat dengan keputusan para pelabur sama ada untuk meneruskan pelaburan mereka dalam ekuiti atau bon di Malaysia.
“Sekiranya Malaysia mampu mengekalkan kestabilan politik dan prestasi ekonomi yang baik, perkara ini akan memberi petunjuk positif serta jaminan kepada pelabur meneruskan pelaburan mereka di negara ini.
“Jadi, permintaan terhadap mata wang ringgit akan meningkat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” katanya.
Tambah Shahir, sekiranya nilai ringgit terus jatuh merudum, perkara itu akan menyebabkan Malaysia bakal berdepan dengan banyak masalah.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik untuk semua tanpa terikut-ikut rentak populis untuk memancing undi.
“Harus diingat, hutang negara kini termasuk liabiliti sudah mencecah RM1.5 trillion.
“Sekiranya perniagaan PKS menjunam, ia melibatkan 7.3 juta pekerja yang menyumbang kepada 48.4 peratus kepada guna tenaga negara,” jelasnya.
Justeru, Shahir berkata, sudah tiba masanya untuk negara kita mempunyai seorang Menteri Kewangan yang bekerja sepenuh masa demi rakyat.
Terdahulu hari ini, BNM dalam kenyataan memaklumkan pengekalan OPR pada 3.00 peratus selepas menaikkan sebanyak 25 mata asas pada 3 Mei lalu.
Katanya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.- MalaysiaGazette