KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengenakan hukuman denda berjumlah RM120,000 kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), atas tindakan penyokongnya yang membakar suar selepas saingan Liga Super dan Piala FA pada Mac dan April lepas.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, surat hukuman denda bagi kesalahan tersebut telah dihantar kepada JDT pada 31 Mei lalu, untuk pemberitahuan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM dipengerusikan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, pada 30 Mei.

“Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lawan Sabah FC (31 Mac), JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran, sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“…bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lawan Kedah Darul Aman FC (9 April), JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak, dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran, sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” menurut kenyataan itu.

Bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lawan PDRM FC pada 14 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

Noor Azman berharap pemakluman ini mampu memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.

Beliau berkata, menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sekarang ini untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat. – Bernama