MELAKA – Pelajar tingkatan dua yang dipercayai mencekik sehingga mati adiknya berusia sembilan tahun semalam ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah arab berasrama di Alor Gajah itu dibawa ke mahkamah menaiki van polis berpakaian lokap pada pukul 9 pagi.
MalaysiaGazette malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.
Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah.
Sebaik membuka pintu, jirannya itu terkejut apabila mendapati remaja lelaki berkenaan sedang mencekik adiknya yang sudah tidak bernyawa sebelum dia segera menepis tangan pelajar tingkatan dua itu. – MalaysiaGazette