gelombang hijau
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang disandangnya pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau percaya gelombang hijau yang cuba dicetuskan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi kesan terhadap penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kerusi tersebut.

“Insya-Allah, saya masih lagi disokong,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim makan tengah hari di Kedai Nasi Ayam dan Nasi Itik Hainan Kak Lina di Ampangan di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan telah menyandang kerusi DUN Sikamat selama tiga penggal sejak memenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Ahli Parlimen Port Dickson itu dijangka dicalonkan semula bagi mewakili PH di kerusi tersebut pada PRN Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membayangkan Aminuddin akan dicalonkan semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin yakin PH dan BN akan mengatasi PN sekali gus membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk di Negeri Sembilan selepas PRN.

“Kalau ikut statistik, kita masih mendahului,” jelasnya. – MalaysiaGazette