Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari menunjukkan barang rampasan pada sidang media tangkapan kes Ragut Geng Indren di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 07 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Geng ragut bermotosikal  yang mengekori rapat dan menarik beg warga emas di tempat terbuka berjaya dipatahkan dengan tertangkap tiga lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pada 28 Jun lalu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki warga emas yang berumur 74 tahun berkenaan kejadian ragut di lampu isyarat berhampiran Kompleks Desa Kepong.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul telah melancarkan Op Sentap untuk membanteras kegiatan ragut.

“Berdasarkan hasil risikan pihak polis, satu serbuan telah dilakukan pada 5 Julai lalu dan hasilnya berjaya membawa pasukan kepada tangkapan tiga remaja berusia lingkungan 19 hingga 21 tahun yang disyaki giat terlibat dalam ragut itu di sebuah apartmen di Kepong.

“Susulan daripada tangkapan suspek pemeriksaan lanjut pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS-X FS150 warna merah dan pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian ragut itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket yang diketuai salah seorang suspek dengan nama panggilan Indran berumur 20 tahun.

Katanya, sindiket dikenal pasti melakukan kegiatan ragut di kawasan terbuka di tepi jalan utama dengan menyasarkan penunggang dan pembonceng motosikal warga emas yang menggalas beg atau meletakkan beg di dalam bakul motosikal.

“Setelah mengenal pasti sasaran, suspek akan bertindak menunggang secara rapat dengan motosikal yang ditunggangi oleh mangsa manakala suspek yang membonceng motosikal akan meragut beg mangsa dan hasil yang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka.

“Semakan juga mendapati dua daripada suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau manakala seorang lagi daripada suspek tidak mempunyai sebarang rekod dan kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut kes,” ujarnya.

Tegas Ahmad Sukarno lagi, susulan dari operasi yang dijalankan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak empat kes ragut yang berlaku di sekitar ibu negara dan satu kes samun berlaku di Shah Alam yang tular di media sosial.

Kes sedang disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahannya.-MalaysiaGazette