PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Ab Samad.
Pasangan itu memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan membela diri atas tuduhan rasuah tahun lepas.
Tiga panel hakim yang bersidang dipengerusikan oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, membuat keputusan itu sebulat suara sebentar tadi.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi bertanggungjawab untuk mempertimbangkan merit kes itu.
Untuk makluman, sebelum ini Mahkamah Tinggi KL tidak mendengar permohonan mereka atas alasan teknikal dengan memfailkan permohonan dengan kaedah salah.
Pengurusan kes untuk permohonan semakan itu ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 14 Julai ini.
Mahkamah pada 9 Disember tahun lalu telah menolak permohonan Bung dan isterinya untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid sebaliknya telah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan ketika itu.
Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob telah memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas pendakwaan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. -MalaysiaGazette
















