simpanan KWSP
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk memperkenalkan pilihan pengeluaran bulanan untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dipertimbangkan kepada mekanisme berupa pencen dalam usaha membantu ahli mempunyai pendapatan pasca persaraan yang lebih stabil.

KWSP berkata, cadangan ini seiring dengan usaha menggalakkan ahli untuk memilih pengeluaran bulanan berkala berbanding pilihan pengeluaran penuh.

Pada 2022, lebih 7,000 ahli telah memilih secara sukarela kaedah pengeluaran bulanan ini.

Proses untuk menguatkuasakan mekanisme pengeluaran berkala ini sedang diteliti dan akan mengambil kira keupayaan dan kesiapsiagaan ahli untuk melakukan transisi ini.

Tambahnya, cadangan ini akan melibatkan perubahan generasi yang akan mengambil masa yang agak lama sebelum dikuatkuasakan.

“KWSP percaya bahawa transisi ini adalah perlu berikutan peningkatan purata jangka hayat rakyat Malaysia daripada 54 tahun pada 1957 kepada 75 tahun hari ini. Purata jangka hayat ini dijangka meningkat di masa hadapan, di mana rakyat Malaysia akan hidup lebih lama dalam tempoh persaraan,” jelasnya.

Oleh itu, KWSP akan terus menggalakkan ahli untuk menukar secara sukarela kepada pilihan pengeluaran bulanan ini.

Di bawah cadangan ini, sebahagian daripada simpanan ahli sehingga had tertentu akan ditukar kepada pendapatan bulanan manakala baki selebihnya boleh dikeluarkan secara penuh.

Ini bagi mengelakkan kemiskinan hari tua dan untuk mengagihkan pendapatan yang lebih tetap sepanjang tempoh persaraan.

Tambahnya, KWSP mengambil pendekatan pragmatik dan praktikal terhadap cadangan penambahbaikan polisi, seterusnya mengimbangi keperluan ahli semasa dengan keperluan untuk mengekalkan kecukupan simpanan selepas bersara.

“KWSP akan memaklumkan sebarang perubahan berkaitan polisinya kepada ahli yang terlibat sebelum perubahan ini berkuat kuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette