KUALA LUMPUR – Kejayaan demi kejayaan dicapai Human Resource Development Corporation (HRD Corp) terutama dalam aspek pembangunan modal insan apabila aktif menganjurkan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023.
Kelmarin, agensi dibawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu telah membawa NHCCE ke wilayah Borneo melalui persidangan dua hari dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (SEDIA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
NHCCE 2023 adalah kesinambungan selepas persidangan sama diadakan dalam skala besar di Kuala Lumpur kemudian di Wilayah Utara Pulau Pinang yang turut dihadiri Menteri KSM, V Sivakumar, Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Dr Jeffey Kitingan.
NHCCE 2023 yang bertemakan ‘HR 5.0: Evolusi dalam Pembangunan Sumber Manusia Wilayah Borneo’ telah membawakan lima sesi perbincangan dengan mengumpulkan pemimpin, pemain industri, pengurusan atasan, pengamal sumber manusia serta golongan profesional kemahiran, pengetahuan bagi memimpin inisiatif pembangunan.
Ini juga untuk pembangunan modal insan yang memberikan perubahan signifikan dalam organisasi, lebih-lebih lagi semua perbincangan menggunakan hala tuju penyelesaian serta untuk membangun modal insan di Sabah dan Sarawak.
NHCCE telah dibawa ke wilayah Borneo dengan persidangan selama dua hari dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (SEDIA) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah kelmarin.
Persidangan ini menampilkan 23 pakar tempatan dan antarabangsa yang terkemuka Aireen Omar, Presiden (Pelaburan & Usahawan) Capital A; Charles Brewer, Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad; Roshan Thiran, Pengasas Leadernomics serta Irene Ong, Ketua Penyelesaian Bakat dan Pembelajaran LinkedIn (Malaysia).
“Kita juga telah menampilkan 40 pempamer seperti Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Evopoint Sdn. Bhd., dan Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah tarikan lebih 1,000 delegasi dari Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Jeffrey yang begitu teruja dengan penganjuran NHCCE di Wilayah Borneo buat julung kali itu berkata, persidangan ini tepat dengan penekanan terhadap membangunkan penyelesaian pembangunan modal insan yang lebih strategik untuk Sabah dan Sarawak diperlukan.
“Persidangan ini juga merupakan platform yang sangat baik untuk wakil kerajaan, akademik, pemain industri serta golongan profesional yang bekerja di Sabah dan Sarawak berkumpul untuk membincangkan cabaran dan peluang modal insan mereka, syabas dan tahniah buat HRD Corp.
“Modal insan yang kukuh adalah penting untuk memastikan Borneo dan Malaysia kekal berada di hadapan dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit di Asia Tenggara,” katanya berucap.
Dalam pada itu, Sivakumar mengucapkan tahniah kepada HRD Corp atas komitmen dan dedikasi dalam membawa persidangan yang sangat dinanti-nantikan ini ke Sabah dan Wilayah Borneo untuk kali pertama.
“KSM dengan bangganya menyokong inisiatif ini kerana ia memberikan peluang pembangunan peribadi dan profesional yang berharga kepada bakat dan tenaga kerja kita dalam rangkaian yang mampan dan berorientasikan masa depan,” ujarnya.
Untuk makluman, NHCCE 2023 akan kembali ke Lembah Klang di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dijangka pada hujung tahun ini. -MalaysiaGazette