Kamarul Rizal Jenal

BAYAN LEPAS – Operator kilang yang bertindak menyerang isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu diberkas di rumahnya di Bayan Lepas.

“Bertindak atas laporan, kita telah menahan suspek kira-kira 11.30 malam tadi. Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 akta sama.

Semalam, Azrul Mahathir membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Teluk Kumbar pada jam 4.50 petang selain bimbang faktor keselamatan isteri serta pekerja premis berkenaan.

Menurut beliau, isterinya tiba-tiba diserang lelaki berkenaan pada pukul 1.40 tengah hari selepas tidak puas hati anaknya dituduh mencuri barang di kedai runcit miliknya di Jalan Datuk Ismail Hashim.

“Isteri saya mengakui ada menangkap pelajar perempuan dianggarkan berusia 11 tahun di premis tersebut ketika dia dikatakan sedang mencuri makanan ringan sebelum memasukan ke dalam beg.

“Tidak lama selepas kanak-kanak itu beredar, lelaki berkenaan masuk ke dalam kedai dan menyerang dengan mengetuk kepala isteri saya.

“Dia cuba mengetuk kepala isteri kali kedua namun berjaya dielak sebelum isteri meminta pekerja kedai menelefon polis,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat insiden isteri bekas ADUN Bayan Lepas diserang