Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG – Dua gadis remaja yang membeli belah di sebuah kedai produk kecantikan di Sunway Pyramid di sini mendakwa menjadi mangsa cabul.

Suspek yang terlibat merupakan seorang lelaki warga Yaman itu berjaya diberkas, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.

Menurutnya, dalam kejadian pada 6 Jun lalu, dua mangsa yang merupakan penuntut universiti berusia 17 dan 18 tahun itu terkejut apabila telah dicabul oleh suspek semasa berada di dalam kedai tersebut.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek itu segera membuat aduan kepada polis bantuan sebelum suspek berjaya ditahan di dalam kawasan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Wan Azlan, suspek kemudian telah diserahkan kepada polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya.

“Siasatan lanjut polis ke atas suspek mendapati lelaki itu merupakan remaja warga Yaman berusia 20 tahun dan tidak bekerja dan pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Suspek kini telah ditahan reman selama 14 hari sehingga 20 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette