sedekah fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengerahkan jenteranya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap ucapan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan tersebut menyentuh unsur sensitif 3R (raja, agama dan kaum).

Menurut beliau, ucapan Guan Eng itu telah dilaporkan oleh media berbahasa Cina.

Pemuda PN mengecam keras kenyataan Guan Eng dan mendakwa ia sebagai pembohongan besar demi menutup kegagalan mentadbir negara

“Pemuda PN dimaklum suatu ucapan yang sangat biadab kononnya untuk menakutkan pengundi bangsa Cina oleh Lim Guan Eng dengan menyatakan PN akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

“Kenyataan ini adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang bakal memusnahkan kedamaian dan perpaduan rakyat Malaysia hanya semata-mata takut melihat penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan yang penuh penipuan, manipulasi dan kegagalan yang berturut-turut selama tujuh bulan pemerintahan yang gagal ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sama ada menteri berkaitan yang sering memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak menyentuh isu 3R akan mengambil tindakan terhadap Guan Eng.

Guan Eng semalam menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya yang itu sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

“Ini tidak benar. Saya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah. Sila rujuk kepada laporan akhbar di bawah.

“Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutar belitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” katanya.

Sebelum itu sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.-MalaysiaGazette