LOS ANGELES – Sebuah pesawat ringan terhempas berhampiran Lapangan Terbang French Valley di California hingga mengorbankan kesemua enam penumpang, nahas kedua di lokasi yang sama dalam tempoh empat hari, lapor tca/dpa.

Menurut ciapan yang disiarkan oleh Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California dan Jabatan Bomba Daerah Riverside, pesawat Cessna 550 terhempas pada pagi Sabtu manakala kesemua penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Koroner belum mendedahkan identiti juruterbang atau penumpang setakat ini.

Pangkalan data pengesanan pesawat Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menyenaraikan pesawat itu milik Prestige Worldwide Flights of Imperial, California.

Ejen syarikat itu gagal dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.

Pejabat media NTSB mengeluarkan kenyataan bahawa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid di Las Vegas terhempas ketika cubaan mendarat kali kedua.

Kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu mungkin menyebabkan pesawat itu gagal mendarat.

Lapangan terbang daerah itu tidak mempunyai menara atau kawalan trafik udara.

Juruterbang boleh dibimbing menggunakan instrumen tetapi landasan perlu jelas kelihatan sebelum mendaratkan pesawat.

Nahas itu berlaku empat hari selepas apabila sebuah pesawat terlanggar bahagian tepi bangunan berhampiran Lapangan Terbang French Valley mengakibatkan seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera.-BERNAMA-tca/dpa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast