warlord Gerakan
Liang Teck Meng

KUALA LUMPUR – Datuk Liang Teck Meng mendakwa terdapat sekumpulan pemimpin Gerakan yang bersikap seperti warlord dan mahu membunuh demokrasi dalam parti itu.

Bekas Setiausaha Agung Gerakan itu mempersoalkan sama ada mereka takut berdepan pemilihan parti.

“Mengapa tidak bersaing secara adil dan biarkan perwakilan pilih pemimpin? Mengapa beria-ia sangat menekan regu saya untuk menarik diri sebelum pemilihan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang bakal bertanding jawatan Presiden Gerakan mengulas tentang keputusan V. Prabagaran menarik diri daripada persaingan jawatan Timbalan Presiden Gerakan.

Prabagaran memaklumkan keputusan itu melalui surat kepada Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Nasional Gerakan hari ini.

Teck Meng menyifatkan keputusan Prabagaran itu sebagai menyedihkan namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk bertanding.

“Siapa yang sanggup hilang kuasa dan siapa yang sanggup melakukan kebaikan untuk Gerakan sekiranya kuasa diberikan sahaja kepada mereka,” jelasnya.

Jawatan Presiden Gerakan disandang oleh Datuk Dr Dominic Lau manakala Oh Tong Keong menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Selain Teck Meng, dua lagi pencabar Dominic ialah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Lau Hoi Keong dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan.

Dengan penarikan diri Prabagaran, Tong Keong kini berdepan dua pencabar lain iaitu Ketua Biro Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan Komuniti Gerakan, Dr Kiew Hen Chong dan Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast