Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis cedera parah selepas dipercayai ditikam oleh seorang lelaki yang ditahan dalam operasi membanteras dadah di Jalan Ungku Puan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada jam 2.30 pagi.

Pihaknya mendapati seorang anggota dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berusia dalam lingkungan 22 tahun telah mengalami kecederaan luka dalaman di bahagian rusuk sebelah kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau.

“Difahamkan mangsa ditikam seorang lelaki semasa menjalankan tugas Ops Tapis Khas di sekitar Johor Bahru. Kejadian berlaku pukul 2.30 pagi semasa memeriksa tiga individu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota polis berpangkat konstabel itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah  di sini untuk rawatan dan dimaklumkan kini berada dalam keadaan stabil.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika operasi yang disertai seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah

Suspek secara tiba-tiba cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam suspek.

Suspek bagaimanapun telah melarikan diri.

Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Kes  juga disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250. – MalaysiaGazette