Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkaitan ‘gelombang hijau’ perlu dirungkai dengan penuh hemah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan yang menyatakan Guan Eng sengaja membangkitkan isu 3R (agama, raja dan kaum) ketika menyentuh tentang perobohan tokong dan menafikan hak beragama di Pulau Pinang perlu mengikut perundangan.

“Apa jua kebenaran tentang apa yang dikatakan oleh YB Guan Eng, pihak polis telah memberi komitmen untuk menyiasat dan mengambil tindakan. Saya juga percaya Guan Eng juga turut bersedia untuk memberi kerjasama dan menjawab segala persoalan.

“Pandangan saya, dalam berpolitik elakkanlah daripada kita memfitnah antara satu sama lain, apa jua perkara yang tidak jelas, biarlah ia dirungkai dengan penuh hemah dan mengikut perundangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan Ahmad Zahid mempertahankan Guan Eng yang didakwa sengaja membangkitkan isu 3R dengan menyentuh perobohan tokong Buddha atau Cina oleh ‘gelombang hijau’.

Ahmad Zahid berkata ada pihak sengaja memainkan semula isu terbabit dan cuba memburukkan bekas Menteri Kewangan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengamati isu berkaitan Guan Eng dan mendapati jawapan balas Ahli Parlimen Bagan itu hanya merujuk kepada situasi lama pada tahun 2020 di Kedah.

“Seperti yang saya katakan semalam dalam kenyataan media saya di Dataran Merdeka meskipun kita kini berada pada suasana hangat pilihan raya, jika kita berbeza pandangan politik sekalipun, sebaiknya perbezaan itu ditangani dengan akhlak yang baik.

“Janganlah kita lakukan character assassination (pembunuhan karakter) kerana ia bakal mencetuskan situasi yang tidak harmoni di antara kita rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R berikutan menerima beberapa laporan polis berkait perkara itu.

Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu. – Malaysiagazette