Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.00 peratus dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi semasa dan selaras dengan objektif bank untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seimbang dan mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil.

Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Mohd Muazzam Mohamed berkata, pendirian BNM konsisten dalam menentukan dasar monetari dan OPR.

Jelasnya, setiap keputusan yang diambil oleh BNM adalah berorientasikan ke hadapan dan berdasarkan pelbagai data dan petunjuk, termasuk pergerakan Indeks Harga Pengguna (IHP), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aktiviti ekonomi, dan kadar pengangguran, antara lain.

Mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya institusi kewangan harus tetap responsif terhadap kesulitan yang dihadapi oleh peminjam individu dan perusahan kecil dan sederhana (PKS), Muazzam berkata, institusi perbankan Islam akan terus membantu pelanggan dan PKS yang memerlukan khidmat bantuan kepada permasalahan kewangan yang dialami.

Para pelanggan juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan informasi tentang bantuan yang disediakan.

Selain itu, PKS yang mengalami kesulitan kewangan juga boleh memilih mekanisme penyelamatan korporat untuk memulihkan perniagaan mereka di bawah Akta Syarikat 2016 seperti mekanisme di luar mahkamah – Perjanjian Sukarela Korporat (CVA) atau mahkamah melalui Pengurusan Mahkamah (JM), Skim Pengaturan (SOA).

Dalam pada itu, AIBIM menasihatkan pelanggan untuk berhati-hati terhadap penipuan kewangan dalam talian untuk mengelakkan kehilangan wang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast