KUALA LUMPUR – Pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lepas dengan perolehan ekuiti bernilai RM200.9 juta, sekali gus menandakan pembelian bersih minggu keenam berturut-turut bagi mereka, kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu dalam Laporan Aliran Dananya untuk minggu berakhir 7 Julai 2023, Jumaat lalu menyaksikan aliran masuk pelaburan tertinggi untuk minggu berkenaan dengan sejumlah RM160.6 juta selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keputusannya untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

“Setakat tahun ini, pelabur institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 21 daripada 27 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih RM3.93 bilion,” katanya.

Pada masa yang sama, peruncit tempatan juga kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, menyaksikan belian bersih ekuiti domestik bernilai RM53.2 juta minggu lepas.

“Setakat ini, peruncit tempatan telah menjadi pembeli selama 15 daripada 27 minggu. Jumlah belian bersih setakat tahun ini berjumlah RM516.3 juta,” kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, ia berkata pelabur asing turut mencatatkan jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua belas berturut-turut, dengan aliran keluar bersih asing mencecah -RM254.1 juta.

MIDF berkata Isnin lepas menyaksikan aliran masuk asing bersih berjumlah RM83.0 juta, dengan pelabur asing menunjukkan minat dalam saham seperti Public Bank (RM28.4 juta), Maybank (RM16.0 juta) dan Gamuda (RM15.2 juta).

“Pelabur asing telah menjadi penjual selama 21 daripada 27 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak -RM4.45 bilion,” katanya.

Dua sektor mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lepas, iaitu perladangan (RM23.5 juta) dan pembinaan (RM22.4 juta), manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (-RM75.9 juta), produk pengguna dan perkhidmatan (-RM51.2 juta) serta produk dan perkhidmatan industri (-RM50.3 juta).

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) oleh pelabur asing (-17.9 peratus) dan pelabur runcit (-1.2 peratus), tetapi peningkatan dalam kalangan pelabur institusi tempatan (+3.3 peratus). – BERNAMA