KUALA LUMPUR – Kejadian dua lelaki memukul anjing yang tular di media sosial berlaku di Kampung Telok Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Supt. Kamarul Rizal Jenal berkata, pihak polis sedang mengesan suspek yang terlibat.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukan hukuman denda hingga RM100,000 dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 AKMM yang boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan yang munasabah.
“Pihak polis juga ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menularkan lagi video berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Video dengan kapsyen ‘Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati’ tular di media sosial.
Dalam video berkenaan memaparkan dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
Seorang pengadu telah membuat membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 8 Julai lalu di Kampung Telok Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang.
“Menurut saksi kejadian telah melihat suspek dua lelaki tempatan yang tidak dikenali tinggal berdekatan tempat kejadian menyerang seekor anjing yang terjatuh dalam longkang tepi jalan.
“Saksi ini terus bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit miliknya dan hantar kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor sebelum ditularkan oleh rakannya melalui akaun Twitter,” katanya. – MalaysiaGazette