Antara barang rampasan yang ditemui dalam serbuan dilakukan di Skudai, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis pemprosesan dan penyimpanan arak tiruan di Skudai, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, bertindak atas maklumat, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua yang melakukan serbuan pada kira-kira jam 10.30 malamdan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun.

“Rampasan meliputi sejumlah besar kotak berisi pelbagai jenis minuman disyaki tiruan dan peralatan untuk memproses arak tiruan di dalam premis tersebut serta barangan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kumar, pihaknya juga merampas peralatan yang digunakan bagi memproses arak tiruan dan keseluruhan barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM241,000.

Tambah beliau, lelaki terbabit kini ditahan reman selama 14 hari bermula Isnin danĀ  siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette