KUALA LUMPUR – Amanah menjangkakan dapat bertanding di sekurang-kurangnya 33 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.
Malah, menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pihaknya optimis Amanah akan menang di kerusi-kerusi yang dipertandingkan berdasarkan sambutan daripada rakyat.
Katanya, rakyat boleh menerima Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan peluang yang seimbang mampu dicapai pada PRN ini termasuk di negeri dikuasai pembangkang.
“Angka yang lebih kurang, kalau Kelantan kita boleh bertanding tujuh kerusi, kalau Terengganu tiga atau empat Insyaallah, Kedah tujuh atau lapan, Selangor sembilan, Negeri Sembilan, tiga dan Pulau Pinang, dua kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan harga barang di sebuah pasaraya, di Danau Kota di sini, hari ini.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi pada kempen pilihan raya kali ini, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, tidak ada yang sukar dalam politik.
Tegasnya, apa yang penting adalah sejauh mana parti politik itu mencuba sebaik mungkin termasuk dalam mengenengahkan calon-calon yang akan bertanding.
“Semua parti politik akan menampilkan calon terbaik, strategi terbaik, pendekatan terbaik…itu tugas kita untuk kita pastikan dapat capai kemenangan di negeri yang kita bertanding,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan mengenai kehadiran Barisan Nasional (BN) di dalam Kerajaan Perpaduan, Salahuddin memberitahu, parti Amanah sudah biasa dengan situasi itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU).
Katanya, Amanah telah bersama dengan banyak parti seperti PKR, DAP, kemudian Bersatu dan sekarang dengan UMNO.
“Kita dah biasa berkeluarga macam ini, jadi, tidak ada masalah. Segala cabaran akan kita hadapi bersama sebagaimana kita mendirikan rumahtangga,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai serangan yang dilakukan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN) terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung kenyataan 3R yang diputar belit, Salahadin menegaskan, parti-parti dalam kerajaan tidak akan memainkan isu itu dan mengelak daripada membangkitkannya.
Tegasnya, semua pemimpin dalam PH dan BN memiliki parameter yang betul untuk berkempen.
“Kita elak daripada 3R. Kita melarang, kita ajak rakyat menolak 3R.
“Jangan jadi pelampau agama, pelampau kaum dan kita pastikan semua pimpinan PH dan BN pada perimeter yang betul.
“Kita berada di landasan betul untuk berkempen dan tugas kita meyakinkan rakyat untuk bersama dalam memajukan Malaysia Madani dan kita elak sebarang apa yang dikatakan permainan politik pelampau,” tambahnya. – MalaysiaGazette