PUTRAJAYA – Bekas peguam kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmin Loo Ai Swan sudah ditahan polis, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, Jasmin ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat lalu.
“Jasmin merupakan seorang individu yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes 1MDB ditahan oleh polis pada Jumaat dan pada 8 Julai telah dikenakan reman di IPD Dang wangi.
“Perintah reman itu adalah di bawah siasatan Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.
Jelas Saifuddin Nasution lagi, berdasar kepada kenyataan peguamnya, Jasmin sedia untuk memberikan kerjasama untuk membantu siasatan terhadap kes 1MDB.
“Beliau bersedia untuk beri kerjasama untuk membantu PDRM dan kerajaan,”ujarnya tanpa memperincikan bagaimana Jasmin ditahan.
“Dia dibawa ke IPD Dang Wangi dan ditangkap di Kuala Lumpur maksudnya. Dia ditangkap, itu sahaja. Kalau nak lanjut kena tanya polis,” tambah Saifuddin.
Mei lalu seorang sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low berjaya dibawa pulang.
Individu itu difahamkan ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 3.30 pagi pada 3 Mei lalu. – MalaysiaGazette
Satu perkembangan yg baik untuk meringkai kes mistri IMBD