Muhammad Faiz Fadzil (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan Touch Point kepada 30 nelayan di Pasar Nelayan Balok, Kuantan hari ini

KUANTAN – Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah meluluskan RM800,000 bagi tujuan melabuhkan tukun tiruan di empat kawasan perairan di Pahang.

Menurut Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, ia merupakan inisiatif agensi tersebut untuk membantu nelayan di negeri ini meningkatkan hasil tangkapan mereka.

“Tukun-tukun ini akan diletakkan di beberapa kawasan nelayan di Kuantan, Rompin, Nenasi dan Pekan,” katanya.

Muhammad Faiz Fadzil

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Rahmah Mesra Madani: Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Pahang di Pasar Nelayan Balok, di sini pagi ini.

Dalam program itu juga, beliau turut menyerahkan sumbangan satu Tong Ikan Berinsulasi, dua Unit Pukat Kaya dan 100 Unit Pelampung kepada 30  nelayan terbabit.

Sebelum itu, para nelayan yang hadir diberi peluang menyuarakan sebarang pendapat dan keluhan secara terus kepada LKIM menerusi sesi dialog yang diadakan.

Difahamkan, sebanyak RM17,000 telah diperuntukkan bagi bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan iaitu Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan Touch Point kepada 30 nelayan hari ini.

Antara nelayan di Balok, Kuantan yang menerima Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan Touch Point

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM250,000 peruntukan kepada 177 orang nelayan di seluruh Pahang yang layak menerima bantuan terbabit.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz mengingatkan golongan nelayan muda untuk mendaftarkan diri dengan Persatuan Nelayan Negeri bagi melayakkan mereka mendapatkan bantuan.

“Walaupun tidak mempunyai lesen, namun sebagai ahli persatuan, mereka layan menerima pelbagai sumbangan, bantuan atau dana dari LKIM yang diperuntukkan oleh kerajaan.

“Lesen itu wajib ada kerana tanpa lesen mereka akan dikenakan denda. Apabila mereka berada dalam persatuan, LKIM akan bantu mereka bagi mempercepatlan proses mendapatkan lesen yang diurukan Jabatan Perikanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette